Keputusan UMNO tidak jejaskan kerajaan Perak

Iklan
Razman Zakaria

BAGAN SERAI - Keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak menjejaskan Pas serta pentadbiran kerajaan Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, beliau bagaimanapun menghormati pendirian UMNO dalam mencapai keputusan itu.

Iklan
Iklan

Menurut Razman, pihaknya masih berpegang kepada akuan bersumpah (SD) menyokong kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang ditandatangani Disember lalu.

"Sekarang kita masih lagi dalam kerajaan, jadi tidak timbul isu memberi kesan atau tidak. Meskipun ada yang tarik diri tetapi tiada kesan setelah sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah beri sokongan kepada Saarani.

Iklan

"Bagaimanapun, kita lihat keputusan parti di peringkat pusat dengan situasi politik kini. Waktu ini kita fokuskan untuk terus bekerja menyalurkan bantuan untuk rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui pada program penyampaian bantuan kepada penduduk Kampung Tepi Kolam, Bukit Merah, di sini pada Khamis.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol mengulas mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Iklan

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Jelasnya, tujuh kegagalan itu antaranya gagal menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta