KUALA LUMPUR — Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia empat tahun sehingga cedera di bahagian badan dan kaki.
Tertuduh berusia 32 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.
Lelaki, yang bekerja sebagai pengurus akaun di syarikat miliknya, didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkan kesan kecederaan di bahagian badan dan kaki mangsa di sebuah rumah di Sentul pada 12.30 tengah malam, 3 Januari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana bimbang tertuduh akan mendera mangsa lagi.
"Kecederaan yang dialami mangsa sangat serius maka pendakwaan tidak menawarkan jaminan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan kerana dia penanggung tunggal keluarga dan isterinya tidak bekerja.
"Saya sudah berbaik dengan isteri dan saya kini tinggal dengan anak. Anak pun saya jaga. Anak tidak mahu makan jadi saya hukum untuk didik anak,” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes.- Bernama