Muhyiddin dijangka kemuka usul undi percaya PM di Parlimen: Apandi

Iklan
Muhyiddin dijangka kemukakan usul undi percaya terhadap dirinya selaku Perdana Menteri pada sidang Parlimen akan datang.

SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan usul undi percaya terhadap dirinya selaku Perdana Menteri pada sidang Parlimen akan datang.

Menurut laporan portal Malaysiakini, Mohamed Apandi berkata, ia berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menarik balik sokongan terhadap beliau berkuat kuasa serta merta.

Iklan
Iklan

"Selama sidang Parlimen akan datang, Perdana Menteri akan mengusulkan undi percaya.

"Sekiranya beliau menang dengan sokongan semua ahli Parlimen yang berada di dalam kabinet, tidak ada apa yang akan berlaku sehingga pilihan raya umum akan datang.

Iklan

"Jika Perdana Menteri gagal memperolehi sokongan untuk undi percaya, dia dan kabinet mesti mengundurkan diri dan dia harus menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen," katanya pada Khamis.

Apandi

Mohamed Apandi yang juga bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO memberitahu, selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan kabinet sekarang akan tetap menjadi kerajaan sementara untuk jangka waktu maksimum 60 hari.

Iklan

Katanya, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari berkenaan.

"Proses vaksinasi nasional juga perlu diselesaikan dalam tempoh 60 hari itu, sehingga keadaan kondusif untuk mengadakan pilihan raya umum," katanya.

Awal pagi Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, pada Isnin lalu, kerajaan bersetuju agar Parlimen bersidang semula selama lima hari bermula 26 Julai ini dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih lagi berkuat kuasa di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta