SEREMBAN - Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu keputusan yang memihak kepada rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, walaupun keputusan itu pahit dan mungkin dianggap tidak popular, tetapi hakikatnya UMNO perlu membuat satu keputusan mengenai hala tuju politik negara.
"Jika mahukan kekuasaan, kekayaan atau mementingkan sifat materialistik, lebih baik terus memilih bersama kerajaan hari ini.
"Tapi UMNO tidak melihat semua itu. UMNO melihat kepada kehendak rakyat yang semakin hari semakin marah dengan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan hari ini seolah-olah memekakkan telinga dan membutakan mata ketika seluruh rakyat sedang berhadapan dengan zaman pandemik yang serba payah ini.
Ujarnya, paling dikesali apabila dunia melabelkan Malaysia sebagai negara yang tercorot dan mungkin mengambil masa yang lama untuk pulih daripada pandemik Covid-19.
"Ekonomi makin membimbangkan dan sistem kesihatan makin lumpuh. Semua ini membuatkan rakyat 'menjerit'.
"Memahami akan kepayahan rakyat itulah, UMNO tampil membuat satu keputusan untuk tidak lagi memberi sokongan kepada perdana menteri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta
Beliau berkata, UMNO berkorban untuk hilang jawatan dalam kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).
Mohd Zaidy berkata, rakyat perlukan sebuah kerajaan yang efisien dan bukannya kerajaan yang syok sendiri dan terlalu selesa berada di atas kerusi empuk pemerintahan.
"Tarikh semalam (Rabu) pastinya akan dikenang di dalam sejarah politik tanah air kerana pengorbanan UMNO kepada rakyat.
"Mungkin bagi sesetengah orang menganggap ia sebagai satu keputusan bersifat politiking, tetapi percayalah sejarah akan membuktikan sebaliknya," katanya.