SEREMBAN - Hak penjagaan individu yang sebelum ini diberi kebenaran untuk menjaga seorang kanak-kanak orang kelainan Upaya (OKU) dilucutkan serta-merta atas perintah mahkamah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan intervensi untuk menghentikan hak penjagaan kepada orang yang layak dan sesuai terhadap adik Bella, 13, yang kini di bawah jagaan JKM.
"Kita akan terus memantau adik Bella, bukan sahaja dari segi kesihatannya malah dari segi emosi, agar dia boleh kembali sihat seperti biasa termasuklah daripada segi fizikal, mental dan emosi.
"Dia (Bella) sebelum ini memang di bawah jagaan JKM, tetapi apabila ada permohonan daripada individu yang dirasakan layak dan sesuai, maka diluluskan kebenaran atas perintah mahkamah, semuanya berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Malah pada Februari lalu, JKM ada melawat adik ini, dan masa ketika itu dia sihat, sehinggalah kisahnya terbongkar dan videonya tular di media sosial. Kanak-kanak ini diberi hak penjagaan kepada individu yang layak sahaja, bukan melalui pertubuhan kebajikan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat kanak-kanak OKU yang disyaki didera dan berjaya diselamatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban milik JKM, pada Khamis.
Dalam pada itu, Rina turut memberitahu status rumah penjagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kanak-kanak serta wanita di Wangsa Maju itu, masih dalam proses pendaftaran dengan JKM.
Katanya, pegawai JKM akan memantau di rumah jagaan tersebut setiap hari, bagi memastikan beberapa penghuni yang masih berada di situ berada dalam keadaan baik.
"Kita masih lagi menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan perintah mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
"Jika rumah penjagaan itu diarahkan tutup, maka kesemua penghuni itu akan kita ambil, sekiranya mereka ada keluarga atau waris kita akan pulangkan, jika tidak kita akan tempatkan di mana-mana pusat jagaan JKM," katanya.
Jelasnya, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan selesaikan isu ini dengan segera.
"Sekiranya didapati ada unsur penderaan, pelakunya harus diberi hukuman setimpal supaya jadi pengajaran kepada yang lain,"katanya.
Dalam pada itu, Rina turut memberitahu sehingga tempoh April lalu, sebanyak 2,040 kes penderaan melibatkan kanak-kanak direkodkan, berbanding tahun lalu tempoh yang sama sebanyak 5,836.
Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah di ibu negara disyaki didera.
ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Anak istimewa disyaki didera di rumah kebajikan
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dilaporkan berkata, mangsa menghidap sindrom down mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut serta turut disahkan positif Covid-19.
Anak malang tersebut pada asalnya menghuni Taman Sinar Harapan Seremban (TSHS) di Negeri Sembilan, sebelum diambil sebagai anak angkat oleh sebuah rumah kebajikan tahun lalu.