Pemilik kedai cermin mata didakwa dera anak teman wanita

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai cermin mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera dua anak teman wanitanya berusia lima tahun dan 10 tahun.

Muhammad Aiman Chuah Abdullah, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan 10 bulan sehingga menyebabkan kesan merah dan lebam pada bahagian pipi kiri dan kanan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh dengan sengaja mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun empat bulan sehingga menyebabkan kesan luka di bahagian dahi.

Iklan

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Cheras pada 11 malam, 15 Februari 2019 serta antara 2 pagi hingga 4 pagi pada 11 Januari 2019 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi tidak menawarkan sebarang wang jaminan manakala tertuduh yang diwakili peguam Abdul Malik Abdul Hakim memohon dibenarkan jaminan dengan alasan dia menanggung keluarga.

Iklan

Mahkamah membenarkan Muhammad Aiman Chuah diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes. - Bernama