Hubungi talian prihatin sekiranya hadapi tekanan

Iklan
Nurul Izzah

BUKIT MERTAJAM - Mereka yang menghadapi kemurungan, tekanan dan kekecewaan berikutan masalah yang dihadapi boleh menghubungi talian prihatin bagi mendapatkan sokongan emosi.

Inisiatif dilakukan Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertujuan untuk membantu mereka yang berhadapan dengan situasi getir dalam kehidupan termasuk mengalami masalah kesihatan mental yang mungkin cenderung melakukan perbuatan di luar batasan.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, talian psikososial yang disediakan itu memberi ruang kepada 'pesakit' untuk meluah dan berkongsi rasa dengan kaunselor serta pakar yang bertugas.

Menurutnya, sokongan moral serta khidmat kaunseling yang ditawarkan bertujuan memberi motivasi diri kepada mereka untuk terus cekal menjalani kehidupan.

Iklan

"Kita mahu mereka tahu yang sebenarnya mereka tidak keseorangan sebaliknya masih ada lagi ruang untuk mereka berkongsi dan meluahkan apa yang terpendam.

"Hubungi talian psikososial yang disediakan di peringkat Permatang Pauh kerana selain dapat menjalani kaunseling secara individu, orang ramai juga boleh menjalani ujian kesihatan mental selain mendapatkan beberapa perkhidmatan lain yang disediakan," katanya.

Iklan

Nurul Izzah berkata, masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat perlu diberi perhatian serius malah pada ketika ini ramai yang berdepan dengan tekanan disebabkan hilang pekerjaan, masalah keluarga, beban hutang dan masalah yang bertimpa selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, statistik menunjukkan sehingga Mei tahun ini sebanyak 468 kes bunuh diri telah dilaporkan atau dua kes setiap hari berlaku disebabkan masalah penyakit mental dan kemurungan.

"Selain itu, berlaku peningkatan 23 peratus kes keganasan rumah tangga dan 88 peratus mangsa melibatkan wanita. Jadi kita kena prihatin bahawa tiga daripada 10 orang berusia 16 tahun ke atas akan mengalami kesihatan mental.

"Justeru itu, kami di Permatang Pauh ingin menawarkan khidmat ini bagi bersama dengan masyarakat untuk selamatkan jiwa-jiwa daripada dipersia-siakan dengan tindakan di luar kawalan," katanya.

Bagi mendapatkan perkhidmatan talian prihatin boleh menghubungi 014-7465348.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)