Nenek didenda RM100,000 jual rokok seludup

Iklan
Tertuduh, Ramlah Drahaman, 56, didenda RM100,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku memiliki rokok seludup di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU- Tindakan berani seorang nenek menjual rokok seludup di kedainya mengundang padah apabila dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Ramlah Drahaman, 56, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah memiliki pelbagai jenama rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM824.32 di kedainya di Kampung Chendering, di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 14 Januari lalu.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta yang sama.

Iklan

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000, yang mana nilai lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau boleh dipenjarakan tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan di premis rumah kedai milik tertuduh kerana disyaki terlibat dengan aktiviti menjual rokok yang belum lulus Kastam.

Hasil pemeriksaan berjaya menemui pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM824.32 dan tertuduh didapati gagal mengemukakan apa-apa dokumen menunjukkan cukai atau duti ke atas rokok itu telah dibayar.