KUANTAN - Polis menahan seorang pemandu lori bersama muatan 265 kotak besar rokok putih dipercayai diseludup yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta di KM193.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 32 tahun yang memandu lori bonded itu ditahan anggota pasukan petugas khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara pada kira-kira 7.30 pagi menerusi Op Kontraban.
Jelas beliaua, siasatan awal mendapati lelaki yang bertindak sebagai penghantar itu dalam perjalanan dari Segamat, Johor menuju ke Kuala Lumpur.
"Bersama lelaki itu turut dijumpai surat-surat kebenaran pengoperasian yang telah luput selain dua nombor pendaftaran kenderaan dipercayai palsu.
"Dipercayai sindiket itu juga mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan kotak kosong makanan pelbagai jenama dan barang runcit di hadapan kotak besar yang diisi rokok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, Komander PGA Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.
Ramli berkata, pemeriksaan lanjut ke atas 265 kotak besar itu menemukan 254 kotak besar mengandungi 2.54 juta batang rokok putih jenama John JDB dan 11 kotak besar mengandungi 137,500 batang rokok jenis John White.
Beliau berkata, rokok untuk pasaran tempatan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dengan menggunakan jalan laut.
Katanya, selain lori bernilai RM120,000 itu, polis turut merampas telefon bimbit, wang tunai RM771.40 serta mata wang Singapura SGD31.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket berkenaan berkemungkinan mempunyai kaitan dengan tangkapan yang dilakukan pasukan itu di Rompin pada Jumaat lepas, yang membabitkan penahanan seorang pemandu lori berusia 36 tahun bersama rokok putih dan kretek dipercayai tanpa cukai dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.
"Siasatan lanjut mengenai sindiket ini sedang dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya. - Bernama