PKPD Seremban: KPDNHEP Negeri Sembilan jamin bekalan makanan cukup

Iklan
Pasukan pemantau harga meneliti harga dan bekalan di salah sebuay premis pada Khamis.

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seremban bermula dari 9 sehingga 22 Julai ini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan oleh pihaknya bersama pegawai pemantau harga, mendapati bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan.

Iklan
Iklan

Katanya, berdasarkan rekod daripada 1 Jun lalu, iaitu bermula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) sehingga 8 Julai, sebanyak 3,010 premis diperiksa.

"Pemeriksaan ini meliputi pasar raya besar, pasar raya borong, pasar raya, kedai runcit, pasar-pasar awam dan lain-lain premis perniagaan, termasuk pemantauan harian terhadap 151 peruncit terpilih daerah serta 33 pemborong terpilih daerah.

Iklan

"Sehingga kini tiada sebarang situasi gangguan bekalan di peringkat pemborong dan peruncit dikesan.

"Dari segi aduan pula, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan menerima satu aduan berkenaan gangguan bekalan minyak masak peket satu kilogram pada 16 Jun lalu di sebuah pasar raya di Senawang dan hasil siasatan mendapati pihak pasar raya membuat tempahan bekalan daripada pembekal dan bekalan di premis tersebut kembali normal pada 19 Jun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Tambah beliau, KPDNHEP negeri ingin menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

"KPDNHEP memberi jaminan bekalan barang keperluan pengguna setakat ini mencukupi dan mudah diperolehi sepanjang tempoh PKP.

"Pengguna juga disaran membuat pembelian secara dalam talian sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan pergerakan fizikal di premis-premis perniagaan," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau hubungi Call centre 1 800 886 800 atau melalui WhatsApp di talian 019-2794317.