Liga-M kembali bersambung 24 Julai

Iklan
Selangor FC antara pasukan yang berada di negeri di bawah pelaksanaan PKPD ketika ini. -Foto Facebook Selangor FC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang membabitkan aksi Liga Super dan Liga Premier akan kembali bersambung pada 24 Julai ini.

Bagaimanapun, terdapat sedikit pindaan terhadap jadual Liga-M susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan di seluruh negara susulan peningkatan kes Covid-19.

Iklan
Iklan

Pindaan itu membabitkan saingan Liga Premier yang sebelum ini dijadual kembali bermula pada 3 Julai 2021.

Perlawanan tertunda iaitu Perak FC II menentang Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh sementara Selangor FC 2 bertemu Sarawak United FC di venue yang akan ditetapkan kemudian akan berlangsung pada 17 Julai 2021 berbanding tarikh asal pada 29 dan 30 Jun 2021.

Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dauk Ab Ghani Hassan, pindaan jadual turut melibatkan perlawanan ke-19 hingga ke-22 Liga Super serta aksi ke-13 hingga ke-22 Liga Premier bagi memastikan jarak bagi setiap perlawanan tidak terlampau padat.

"Meskipun PKP masih dilaksanakan, MFL mendapat pertimbangan baik daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2021 dengan SOP yang ketat.

Iklan

"Bagaimanapun, pindaan jadual tidak dapat dielakkan bagi meminimumkan pertembungan venue dan bagi mengelak daripada pasukan-pasukan mengharungi jadual agak padat.

"Kita semua sedia maklum bahawa KBS sebelum ini telah menyarankan supaya jadual Liga Premier ditunda sebelum ini berikutan kes harian yang masih mencatatkan bacaan tertinggi melebihi 4,000 kes sehari.

"Jika ada sebarang perubahan dan pindaan kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia 2021 akan datang, ia akan tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta arahan terkini oleh Kerajaan Malaysia dan penguatkuasaan arahan PKP,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis.

Liga-M 2021 sebelum ini berehat selepas perlawanan terakhir pada 9 Mei 2021 bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand.

Ab Ghani turut memaklumkan ketika ini semua pasukan dibenarkan menjalani latihan menerusi Camp Based Training.

Namun, beliau berkata, pasukan-pasukan yang berada di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu mencari venue baharu perlawanan bagi saingan Liga Super dan Liga Premier.

Ini kerana sebarang perlawanan Liga-M termasuk perlawanan latihan tidak dibenarkan berlangsung di kawasan PKPD.

Setakat ini, pasukan Liga Super dan Liga Premier yang terlibat dengan PKPD adalah Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras), Selangor FC 2 (Stadium Majlis Perbandaran Selayang), Selangor FC dan PJ City FC (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya), UiTM FC dan Skuad Projek FAM-MSN (Stadium UiTM, Shah Alam) serta Negeri Sembilan FC (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi).

"Buat masa ini, lapan pasukan tidak dapat menggunakan venue asal mereka disebabkan PKPD dan kita tidak tahu bila tempoh PKPD ini akan ditamatkan. Jadi, pasukan terbabit telah diminta untuk mencari venue baharu bagi perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan bermula nanti.

"Pihak MFL telah meminta agar pasukan terbabit bersedia dengan perancangan awal mencari stadium baharu bukan di kawasan PKPD di mana mereka boleh memohon untuk menggunakan stadium yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan seperti Stadium Manjung dan Stadium Batu Kawan.

"Selain itu, mereka juga boleh memohon untuk menggunakan stadium yang hanya digunakan oleh satu pasukan sahaja dan MFL akan membantu pasukan-pasukan dalam mengenalpasti stadium yang boleh digunakan.

"Dengan situasi cukup mencabar disebabkan Covid-19 ketika ini, saya berharap agar semua pasukan terus bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan kelangsungan Liga-M 2021 yang mana saya cukup yakin dan percaya kita boleh mengharunginya bersama,” ujarnya.