Pemandu wanita mabuk tumbuk polis

Iklan

PETALING JAYA - Seorang pemandu wanita dipercayai mabuk bertindak agresif dengan menumbuk anggota polis ketika ditahan untuk pemeriksaan dalam kejadian di Jalan Universiti, di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu wanita terbabit bersama rakannya ditahan setelah tidak berhenti di sekatan jalan raya (SJR) Lebuh Raya Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Pusat Kawalan IPD Petaling Jaya membuat hebahan kepada kereta peronda yang kemudian berjaya menahan kenderaan dinaiki dua suspek itu.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati kenderaan dinaiki dua suspek wanita. Pemandu kenderaan enggan memberikan kerjasama dengan menimbulkan provokasi dan bertindak menumbuk anggota polis bertugas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, ujian alkohol dijalankan ke atas pemandu kenderaan tersebut mendapati ia melebihi paras ditetapkan.

"Pemandu wanita tersebut didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan disiasat oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya.

Iklan

"Saringan ujian air kencing mendapati kedua suspek positif dadah jenis ganja," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20an direman dua hari untuk siasatan lanjut.

"Semakan rekod mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.