UMNO tarik sokongan: Politik Johor masih tenang

Iklan
Samsolbari Jamali

JOHOR BAHRU - Situasi politik di Johor ketika ini masih tenang walaupun UMNO sudah menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) UMNO dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, perkembangan yang berlaku itu adalah di peringkat Persekutuan malah apa yang berlaku tidak akan mempengaruhi fokus utama kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Kami masih fokus pada program agenda rakyat seperti memberi vaksinasi dan juga inisiatif bank makanan.

"Keutamaan kami sekarang adalah untuk membantu masyarakat kerana kita masih menghadapi pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Iklan

Pada awal pagi Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti tersebut menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan memohon Muhyiddin berundur daripada jawatan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dikatakan berlangsung dalam keadaan tegang pada malam Rabu selepas membuat penelitian melibatkan tujuh perkara diambil PN selama ini.

Iklan

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah UMNO Johor akan mengadakan pertemuan susulan keputusan MKT itu, Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, setakat ini masih belum ada.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis pula berkata, pihaknya sedang menunggu arahan Pas Pusat berhubung perkara tersebut.

Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.