Tujuh bulan sakit saraf, Jalipah rindu mahu duduk, solat

Iklan
Zainal (dua dari kiri) menerima kehadiran Ahmad Fadzli (kiri) di rumahnya di Taman Sejati, Sungai Petani pada Ahad.

SUNGAI PETANI -"Teringin nak bangun, duduk dan solat." Demikian luahan Jalipah Omar, 59, dari Taman Sejati di sini yang menderita sakit saraf sejak tujuh bulan lalu.

Dia kini hanya terlantar dan memerlukan bantuan suami, Zainal Bidin, 62, untuk menguruskan diri.

Iklan
Iklan

Menurut Jalipah, dia rindukan saat dia melakukan kerja-kerja kebajikan, menunaikan solat dan boleh berjalan seperti biasa.

"Dulu saya pernah terlibat kerja-kerja membantu golongan susah menghantar bantuan, tetapi kini saya pula yang terpaksa memohon bantuan," luahnya.

Iklan

Bagi memudahkan pergerakan, Jalipah memerlukan sebuah kerusi roda yang lengkap kemudahan membuang air berikutan keadaannya yang sukar ke tandas.

Menurut Zainal, isterinya hanya terbaring di katil dan sesekali perlu dialihkan badan ke kiri dan kanan.

Iklan

"Isteri sering muntah-muntah, tak lalu makan dan selalu mengalami gangguan tidur. Sehingga kini kami ikhtiar berubat pelbagai rawatan dengan harapan dia cepat sembuh," jelasnya.

Sementara itu, anak mereka, Ernani Zulika Zainal, 26, bersama bayi perempuan berusia 18 bulan turut tinggal di rumah itu selepas berpisah dengan suaminya April lalu.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Ernani sebelum ini bertugas sebagai pembantu akaun di sebuah syarikat, kini hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja dua bulan lalu.

Menurut Ernani, disebabkan tidak mampu membayar rumah sewa, dia terpaksa menumpang rumah bapanya buat sementara waktu.

"Saya memang nak cari kerja sebab anak masih perlukan susu dan keperluan lain, mak pula terlantar," katanya.

Kesukaran yang dihadapi keluarga itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim yang hadir ke kediaman mereka pada Ahad lalu bagi menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian, lampin pakai buang dan susu bayi.

"Saya difahamkan keluarga ini belum pernah memohon bantuan dari mana-mana agensi.

"Mengikut permintaan Jalipah, dia memerlukan kerusi roda yang mempunyai kelengkapan membuang air bagi memudahkannya, tanpa perlu kerap ke tandas dan kita telah menyerahkannya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 1521-08129-479 atas nama Ernani Zulika.