Remaja menyamar doktor di PPV tidak pernah lakukan pemvaksinan

Iklan
Individu dengan nama 'Dr Shah' itu mengaku bersalah atas tuduhan menyamar sebagai doktor pakar yang bertugas di PPV Stadium Perpaduan
KUCHING- Individu yang menyamar sebagai doktor di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Kuching dan di Hospital Umum Sarawak (HUS) tidak melakukan apa-apa tugas pemvaksinan.

Hasil siasatan dalaman Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mendapati, penyamar menggunakan nama 'Dr Shah' itu datang sekali-sekala ke PPV Stadium Perpaduan dan mula dilihat berada di situ pada 16 Jun lalu.

Menurut Pengarah JKNS Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, individu itu tidak pernah disenaraikan dalam jadual bertugas rasmi yang ditetapkan untuk semua petugas Kementerian Kesihatan dan para sukarelawan di PPV Stadium Perpaduan.

Iklan
Iklan

"Lelaki yang mengaku sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dari HUS itu memaklumkan hanya datang membantu jika ada kelapangan, tetapi tidak pernah melapor diri untuk bertugas secara rasmi.

"Tiada sebarang tugasan telah diberikan kepadanya yang dilihat selalu berada di ruang pendaftaran.

Iklan

"Malah, setiap ketua stesen di PPV tersebut biasanya akan memastikan kesemua petugas mengisi daftar masuk dan keluar setiap kali bertugas.

"Kesemua pemvaksin yang bertugas akan dipastikan mempunyai sijil Perakuan Pengamalan Tahunan sebelum dibenarkan memberi suntikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Sementara itu, siasatan di HUS pula mendapati, nama dan Pas Petugas Jabatan yang digunakan penyamar itu adalah palsu.

Individu dengan nama 'Dr Shah' itu didapati tidak pernah bertugas sebagai pemvaksin mahupun sebagai sukarelawan di PPV HUS.

Malah, lelaki tersebut juga tiada rekod Saringan Deklarasi Kendiri yang wajib dibuat setiap kali lapor tugas.

Manakala, pengakuannya sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Bahagian Neurologi HUS masih lagi dalam siasatan.

Sehubungan itu, JKNS mengeluarkan arahan penambahbaikan melibatkan langkah penguatkuasaan kemasukan ke premis terlibat serta-merta kepada pihak pengurusan PPV Stadium Perpaduan dan HUS, bagi mengelakkan hal yang sama daripada berulang.

Pada 6 Julai lalu, Shah Hairil Izman Dave, 20 tahun, mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan menyamar sebagai doktor pakar yang bertugas di PPV Stadium Perpaduan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah menyamar sebagai pegawai perubatan di HUS sebanyak 32 kali antara 15 Jun hingga 1 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan tarikh 18 Ogos sebagai sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial tertuduh.

Shah Hairil dituduh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda, jika disabit kesalahan.- Awani