Sidang DUN Selangor mula 23 Ogos

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadualkan bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan pembukaan sidang DUN Selangor melalui warkah yang diutus baginda bertarikh 6 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Iklan
Iklan

"Sultan Sharafuddin juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat (Ke-4) Dewan Negeri Selangor Keempat Belas (Ke-14) Tahun 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Sultan Sharafuddin yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.

Iklan

"Sultan Selangor telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada Isnin, 23 Ogos ini.

"Dewan Negeri Selangor kemudian akan mula bersidang selama lapan hari," katanya.

Iklan

Beliau menjelaskan, sidang DUN kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukannya sekadar sidang khas.

"Sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan Selangor menangani penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, sidang DUN juga dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

"Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak Covid-19 di negeri ini," jelasnya.