Selangor dijangka beralih ke Fasa Dua PPN menjelang Ogos

Iklan
Amirudin (tiga dari kanan) sewaktu sidang media selepas melakukan tinjauan di PKPD Bersasar Taman Murni, pada Jumaat,

SEPANG - Selangor dijangka beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini sekiranya memenuhi parameter yang ditetapkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat beberapa penanda aras yang ditetapkan sebelum proses peralihan ke fasa seterusnya berlaku antaranya melibatkan kadar kes baharu dan keadaan sistem kesihatan di negeri ini.

Iklan
Iklan

Amirudin berkata, selain itu, kadar vaksinasi juga merupakan antara parameter yang akan dinilai sebelum proses peralihan itu berlaku.

"Kalau dua minggu kita berjaya lengkapkan vaksinasi untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, menjelang Ogos atau September kita mungkin dapat beralih ke fasa kedua atau ketiga.

Iklan

"Dengan pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dan komitmen daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kita akan dapat tingkatkan proses vaksinasi selepas ini untuk beralih ke fasa seterusnya," katanya ketika sidang media selepas mengadakan tinjauan di kawasan PKPD Bersasar Taman Murni pada Jumaat.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD Bersasar di Taman Murni bermula pada 30 Jun sehingga 13 Julai susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Iklan

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertujuan untuk menyelamatkan dan mempertahankan sistem kesihatan di negeri ini.

"Malah keputusan hasil pelaksanaan PKPD ini juga bukannya dapat dilihat dalam tempoh tiga atau empat hari kerana ia ada kitarannya.

"Mungkin tiga minggu baharu kita akan lihat kesan PKPD dan PKP yang dilaksanakan ini," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sesi tinjauan itu, Amirudin berkata, seramai 1,000 penduduk dewasa di kawasan PKPD Bersasar Taman Murni akan mula divaksin pada hari ini (Jumaat).

Tambahnya, PKPD di kawasan itu melibatkan 1,600 penduduk secara keseluruhan dengan membabitkan 492 premis perniagaan dan kediaman.

"Keputusan bagi pelaksanaan PKPD di sini adalah susulan terdapat 114 kes positif dikesan sebelum pelaksanaan PKPD ini.

"Sebab itu kita laksanakan PKPD ini kerana penduduk sini kerap kali adakan pertemuan sosial pada siang dan juga malam," katanya.