ABIM gesa semua pihak sokong bela hak asasi etnik Uighur

Iklan
Muhammad Faisal Abdul Aziz

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak menyokong perjuangan Tribunal Uighur dalam membela hak asasi etnik Uighur di wilayah Xin Jiang, China.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, usaha tersebut merupakan langkah bagi menzahirkan kebenaran yang sekian lama ditutup dan dinafikan Republik Rakyat China.

Iklan
Iklan

"ABIM menegaskan bahawa perjuangan membela hak asasi etnik Uighur adalah konsisten dengan agenda kemanusiaan yang diketengahkan ABIM di pentas antarabangsa.

"Justeru, menjadi tanggungjawab kita serta masyarakat antarabangsa untuk sama-sama mempertahankan hak dan maruah mana-mana manusia daripada sebarang penindasan serta pencabulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pendengaran pertama Tribunal Uighur di United Kingdom (UK) telah berlangsung pada 4 hingga 7 Jun lalu.

Sementara itu, Faisal berkata, menerusi pendengaran pertama itu, hampir 30 saksi dan pakar dilaporkan telah diundang secara fizikal dan maya.

Iklan

"Saksi-saksi ini telah memberi keterangan mengenai kem tahanan, penindasan, buruh paksa, penyeksaan, perlakuan jenayah seksual seperti rogol, konstraseptif (pemandulan) secara paksa, pemusnahan warisan agama dan budaya serta pelanggaran hak asasi manusia lain ke atas komuniti Uighur di Xinjiang, China.

"Pendengaran Tribunal ini akan diteruskan pada 10 hingga 13 September 2021 di Church House London untuk menyiasat secara bebas dan adil isu pelanggaran hak asasi manusia dan kekejaman ke atas etnik Uighur,” ujar beliau.

Tambah Faisal, isu berkenaan tidak seharusnya disempitkan dengan kaca mata politik.

"Antaranya ialah dengan menanggapi ia sebagai sentimen anti-China ataupun pro kepada kuasa Barat.

"Sebaliknya ia adalah suara kemanusiaan yang dikongsi masyarakat antarabangsa tanpa dibatasi latar agama, bangsa, serta demografi negara,” jelas beliau.