KUALA LUMPUR - Sebanyak 359 premis dan syarikat telah diperiksa menerusi Tindakan Khas Ops Patuh Terhadap Premis Komersial di sini bermula 2 Julai hingga Khamis.
Pemeriksaan tersebut dilakukan oleh pasukan pemeriksaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) di 11 kawasan Parlimen dalam tempoh seminggu tersebut.
DBKL menerusi satu kenyataan berkata, dalam pemeriksaan itu, 16 notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana didapati ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pemeriksaan ini melibatkan aktiviti perniagaan restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti dibenarkan beroperasi dalam tempoh PPN menerusi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan kesalahan lain di bawah akta dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, DBKL turut membuat 11 tindakan penutupan premis (sealed) iaitu satu premis menerusi Akta 342 dan 10 premis melalui Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan turut mengeluarkan 38 notis kompaun pelbagai kesalahan ke atas pemilik.
"Kesalahan itu membabitkan tujuh notis kompaun UUK 3(1); 28 notis kompaun UUK 20(1)(b) di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016; satu notis kompaun Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan satu notis kompaun UUK 5, UUK Iklan WPKL 1982 serta satu notis kompaun Seksyen 29 Akta Hotel WPKL 2003," katanya.
DBKL berkata, Ops Patuh itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan dan tindakan khas itu dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sehubungan itu, pihak DBKL menggesa warga kota untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang aduan kepada pihak DBKL secara atas talian seperti link yang telah disediakan iaitu http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.