PASIR GUDANG - Pencemaran Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh di sini sejak Khamis lalu akibat buangan sisa bahan kimia menjejaskan kira-kira 70 nelayan dan lima pengusaha penternakan kupang di kawasan itu.
Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, sejak seminggu lalu air sungai berwarna hitam dan kadang-kadang hijau serta busuk akibat buangan bahan kimia dari Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.
"Terdapat terdapat 535 penduduk dari 135 buah rumah yang ada di kampung ini, majoriti daripada mereka adalah nelayan sungai dan laut manakala selebihnya bekerja di kilang-kilang berdekatan selain bekerja sendiri.
"Disebabkan pencemaran, nelayan kampung ini sudah seminggu tidak menangkap ikan, ada yang tetap menangkap hasil sungai dan laut tetapi tidak boleh dijual kerana bimbang akan keracunan makanan.
"Sejak pencemaran, ikan, udang dan ketam timbul serta mabuk sebelum mati, begitu juga hasil ternakan kupang. Sudahlah tidak dapat turun ke sungai dan laut, keadaan bertambah susah apabila tidak dapat mencari rezeki lain kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau keadaan Sungai Kopok dan Sungai Daeng yang terletak tidak sampai dua kilometer dari laut dan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat pada Khamis
Turut hadir Penghulu Mukim Sungai Tiram, Mohd Afiff Mohd Adzhar; Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Cahaya Baru/Tanjung Langsat, Rapenah Ali; Ketua Kampung Tanjung Langsat, Khadni Hamzah dan empat kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Facebook miliknya pada Sabtu memberitahu, pihaknya mendapat aduan pencemaran di Sungai Kopok dan pihak JAS Cawangan Pasir Gudang sudah turun ke lokasi untuk menyiasat.
Tuan Ibrahim berkata, lokasi pengukuran kualiti air dilakukan JAS itu merupakan bahagian hilir bagi Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat dan pemantauan awal mendapati tiada pelepasan efluen abnormal.
Sementara itu, seorang nelayan, Saad Awang, 66, walaupun sudah seminggu pencemaran dikesan dan pihak JAS sudah mengambil contoh air, pencemaran Sungai Kopok masih boleh dilihat terutama airnya keruh termasuk bau yang kurang menyenangkan.
"Pada Jumaat dan Sabtu lalu pencemaran air berwarna hitam pekat dan busuk. Selepas itu hujan lebat pada Ahad air bertukar menjadi kuning kerana tanah dari kawasan kilang baharu yang sedang dibina masuk ke dalam sungai.
"Pada Isnin dan Selasa bertukar hitam dan pada Rabu pula menjadi hijau sehingga kini. Apabila air laut pasang, sungai akan membawa semua kotoran masuk ke Sungai Kim Kim. Semasa air surut akan ada bekas-bekas warna hitam di tebing sungai dan berbau busuk," katanya.
Zaidi Chik, 68, pula berkata, disebabkan kawasan sungai dan laut masih tercemar, nelayan di kampung itu mencari hasil laut di kawasan lebih jauh hingga ke perairan Pengerang, Kota Tinggi untuk mencari rezeki.