Polis sahkan ahli perniagaan, rakan langgar SOP beri bantuan makanan

Iklan
Tular di media sosial mengenai pemilik perniagaan itu yang memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan tetapi dikompaun sehingga mengundang kemarahan dan kecaman warga maya selain menuntut penjelasan pihak berkuasa.

IPOH - Polis mengesahkan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika pengagihan bantuan bank makanan di Sungai Siput, dekat sini yang menyebabkan seorang pemilik perniagaan dan rakannya masing-masing dikompaun RM1,500 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, program berkenaan telah menyebabkan ramai orang berkumpul dan tiada penjarakan fizikal.

Iklan
Iklan

"Beliau (penganjur) sudah ke pejabat daerah untuk memohon kebenaran bagi melakukan sumbangan bank makanan dan pejabat daerah memaklumkan tidak perlu kebenaran kerana konsep bank makanan hanya perlu meletakkan makanan di mana-mana dan orang akan datang ambil.

"Namun kesalahan yang dilakukan apabila beliau mengumpulkan orang di lokasi tersebut ibarat pengagihan makanan secara terbuka sehingga melanggar SOP walaupun pihak polis telah mengarahkan mereka beredar tetapi masih berdegil," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Mohd Khaizam mengulas isu yang tular di media sosial mengenai pemilik perniagaan itu yang memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan tetapi dikompaun sehingga mengundang kemarahan dan kecaman warga maya selain menuntut penjelasan pihak berkuasa.

Jelas beliau, pihaknya tidak melarang tindakan seseorang untuk menyalurkan bantuan makanan kerana ia satu perkara yang murni terutama ketika negara kini masih lagi dilanda pandemik Covid-19.

Iklan

"Saya tidak mahu perkara ini dipolitikkan atas tindakan pihak polis kepadanya. Tambahan pula isu yang dibangkitkan ini telah berlaku pada Jun lalu. Saya rasa ini karut kerana setelah sebulan baharu hendak bangkitkan," katanya.

Mohd Khaizam berkata, pihak terbabit boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya percaya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemilik perniagaan dan rakannya didenda RM1,500 seorang pada 5 Jun lalu kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan ketika mengagihkan bantuan makanan. - Bernama