SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan parti itu dahagakan kuasa untuk mentadbir negara.
Beliau berkata, jika benar UMNO dahagakan kuasa, maka adalah lebih baik parti itu terus menyokong kerajaan sedia ada.
"Tidak benar sama sekali apa yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu kerana dahagakan kuasa
"UMNO tidak boleh jadi `pak sanggup' menadah kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus," katanya menerusi laman Facebook beliau pada Jumaat.
Mesyuarat MKT UMNO pada Rabu membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta dan meminta beliau meletak jawatan.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar kerana tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi dan negara perlu dipulihkan segera.
"Natijah ekonomi negara terus merundum. Ramai hilang mata pencarian atau pekerjaan dan sebilangan besar rakyat hidup sengsara dalam tekanan.
"Apakah UMNO tidak tahu semua ini?. Adakah UMNO harus berpeluk tubuh?. Tidak, UMNO wujud untuk rakyat dan UMNO bersuara dan terus bersuara tetapi kurang dilayan.
"Malah UMNO dituduh kuat merungut, bercakap seperti pembangkang, agenda peribadi Presiden UMNO, dituduh main politik,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta