SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa UMNO sedang melakukan rampasan kuasa secara senyap dengan menguasai kerajaan interim melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, ia berdasarkan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hanya menarik sokongan dan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Katanya, pengumuman Ahmad Zahid itu jelas menunjukkan UMNO menuntut Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan selepas negara mencapai imuniti kelompok iaitu ketika parti tersebut berada dalam posisi yang kuat untuk menang.
"Muhyiddin pastinya didesak untuk letak jawatan sehari dua ini dan Ismail Sabri akan jadi Pemangku dan kemungkinan dilantik Perdana Menteri Interim manakala Hishamuddin pula akan jadi Timbalan Perdana Menteri.
"Majoriti ahli Parlimen UMNO akan kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga bubarnya Parlimen. Kerajaan tak tumbang tetapi UMNO dominan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada awal pagi Khamis membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN:UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta