Penubuhan RCI tak beri kesan kes saman: Sangeet

Iklan

KUALA LUMPUR - Peguam Sangeet Kaur Deo akan meneliti kandungan afidavit balasan daripada Ketua Hakim Negara sama ada tuntutan dalam saman pemula yang difailkannya akan bersifat akademik berikutan pengumuman Kerajaan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan salah laku Badan Kehakiman.

Sangeet, anak bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, memfailkan saman pemula terhadap Ketua Hakim Negara berhubung dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan Karpal Singh dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita berkenaan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku Badan Kehakiman sama ada ia akan memberi kesan terhadap kes samannya.

Katanya RCI dan saman pemula yang difailkannya adalah dua perkara berbeza dan secara peribadinya beliau berpendapat ia tidak memberi kesan terhadap kes samannya.

Iklan

"Pada pengurusan kes yang akan datang iaitu 13 Mac ini, kami akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai kedudukan perundangan berhubung perkembangan terbaru membabitkan penubuhan RCI," katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jaffril di sini hari ini yang turut dihadiri peguam kanan persekutuan S. Narkunavathy yang mewakili responden iaitu Ketua Hakim Negara.

Terdahulu dalam prosiding berkenaan, hakim itu turut menegur dan menasihatkan pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu agar tidak menyebarkan dokumen yang belum diserahkan kepada pemohon atau responden dan mahkamah.

Iklan

Isu itu timbul rentetan afidavit sokongan yang diikrarkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bagi menyokong saman pemula difailkan Sangeet tular di media sosial.

Sangeet yang tidak mengetahui bagaimana dokumen itu boleh tersebar memaklumkan bahawa pihaknya hanya menerima arahan untuk memfailkan afidavit balasan hari ini.

Oleh itu hakim menasihatkan pihak-pihak agar mengikut prosedur biasa yang telah ditetapkan mahkamah dalam serahan dokumen bagi mengelak insiden sama berulang.

Pada 14 Januari lepas, Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal Singh dan kes guru tadika, M. Indira Gandhi.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal Singh telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal berita dalam talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi dan perkara itu diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau di Persidangan Undang-undang Antarabangsa pada 16 Ogos 2018. - Bernama