Awang Essa tak sempat sambut hari lahir

Iklan
Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Rosmiza Kasim (kanan) menenangkan Asuma yang hiba ketika menunjukkan gambar arwah suaminya.

KOTA BHARU – Hasrat bekas pemain bola sepak kebangsaan, Awang Essa menyambut hari lahir ke 72, tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir, jam 4 pagi tadi.

Isteri, Asuma omar, 68, berkata, mereka sepatutnya meraikan majlis berkenaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sebagai tanda terima kasih kepada jururawat dan doktor yang merawatnya.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, HUSM menjadi rumah kedua mereka kerana bekas jurulatih Kelantan era 70 dan 80-an itu kerap mendapatkan rawatan kerana penyakit tulang belakang dan barah tahap empat.

"Sejak September lalu dia terlantar. Kami ulang alik ke hospital kerana keadaan semakin teruk. Saya sudah tidak sanggup melihat dia mengerang kesakitan.

Iklan
Awang Essa

"Sebelum sakit arwah pernah bergurau suruh kami simpan ruang tanah untuk semadikan jasadnya nanti. Rupanya tempat yang dia tempah itu dia akan gunakan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, permergian beliau amat dirasai dan dianggap dunia bola sepak kehilangan lagenda yang dikagumi.

Iklan

Menurutnya, Allahyarham seorang yang komited malah tidak pernah lekang untuk menabur bakti demi menaikkan sukan bola sepak ke tahap yang lebih baik.

"Kita hilang seorang tokoh kerana pencapaiannya ketika 1970-an menjadi antara kebanggaan semua peminat sukan di negeri ini,” katanya.

Allahyarham yang juga bekas penjaga gol Malaysia pada 1969, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 pagi dan meninggalkan seorang isteri serta empat anak.

Beliau yang juga bapa kepada wartawan Sinar Harian Kota Bharu, Siti Fatihah Awang, meninggal dunia di HUSM dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol.