Suami, isteri orang didenda berkelakuan tidak senonoh

Iklan
Pasangan kekasih yang masing-masing berstatus sudah berkahwin dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Pasangan kekasih yang masing-masing berstatus sudah berkahwin dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.

Tidak cukup dengan itu, kedua-duanya yang merupakan penjawat awam turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Keputusan dibuat Hakim Syarie, Mohd Fakhruddin Yusof selepas pasangan itu mengaku salah melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di dalam kereta, di Pantai Batu Buruk (lama), di sini.

Dengan itu, mereka mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Iklan

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Disember lalu, kira-kira jam 9.30 malam, semasa anggota Penguatkuasa Syariah Kuala Terengganu membuat rondaan di sekitar Pantai Batu Buruk (lama) telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil sedang parkir menghadap ke arah laut dalam keadaan mencurigakan.

Iklan

Kemudian, anggota menghampiri kereta yang bercermin gelap itu sebelum mendapati pintu tertutup dan enjin dimatikan selain mendapati keadaan di sekeliling kawasan itu tiada pengunjung lain ketika itu.

Seterusnya, anggota bertindak membuka pintu dan menyuluh ke dalam kereta itu sebelum ternampak seorang lelaki berada di bahagian kerusi pemandu dalam keadaan seluarnya terlondeh di bahagian kaki.

Manakala terdapat seorang perempuan di sebelah kerusi penumpang dalam keadaan kain dipakainya terselak sehingga ke paras lutut dan kedua-dua kerusi direbahkan sedikit.

Sejurus menyedari kehadiran penguatkuasa, si lelaki bertindak menghidupkan enjin untuk cuba melarikan diri namun berjaya dihalang.

Semasa disoal siasat, mereka yang bekerja di tempat sama mengaku telah berkahwin di Thailand tetapi gagal menunjukkan dokumen pernikahan mereka.

Bagaimanapun siasatan selanjutnya mendapati lelaki berusia 32 tahun dan beralamat dari Kampung Serdang Baru, di sini, sudah berkahwin manakala perempuan berusia 40 tahun yang beralamat dari Wakaf Tembesu, Kuala Nerus juga sudah berkahwin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohamad Syafiq Azuddin Syah.