KUALA LUMPUR - Sebanyak 508 kes pemberi pinjaman wang tidak berlesen telah disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melibatkan jumlah pinjaman RM2,579,677.93 bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, seramai 508 orang yang dipercayai terlibat dengan sindiket ini telah ditahan dalam tempoh tersebut.
"JSJK menggerakkan pasukan untuk melaksanakan risikan berkenaan kegiatan sindiket ini bermula 2 Julai, seterusnya, pada 6 dan7 Julai 2021, Operasi Khas - Vulture 1/2021 telah dilancarkan secara serentak di seluruh negara dengan fokus untuk membanteras kegiatan ah long.
"Hasil serbuan menerusi operasi dijalankan berjaya menahan seramai 84 individu," katanya menerusi sidang akhbar secara maya pada Jumaat.
Menurut beliau, operasi yang giat dijalankan turut berjaya menumpaskan beberapa sindiket ah long yang dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan tersebut.
"Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan adalah sindiket Geng 24 di Pulau Pinang, sindiket Ah Meng (Kuala Lumpur), sindiket Andy (Kelantan), sindiket David (Sabah) dan sindiket Ah Loi (Sarawak).
"Pelbagai peralatan yang digunakan untuk mengugut mangsa dirampas daripada sindiket berkenaan antaranya kereta, cat, minyak, risalah pinjaman, rantai besi dan wang tunai RM45,000," katanya.