KKM siasat dakwaan individu disuntik picagari kosong

Iklan
Noor Azmi yang juga doktor perubatan am melakukan suntikan vaksin kepada penerima, Daud Salleh, 59, ketika melawat PPV Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama, Larut pada Jumaat.

LARUT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 di Selangor, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya turut menyiasat kesahihan beberapa video tular di media sosial yang dikaitkan dengan insiden sama.

Iklan
Iklan

"Di samping kita bimbang akan penularan Covid-19, kita juga bimbang dengan penularan berita palsu. Siasatan mendalam perlu dilakukan bagi memastikan sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.

"Saya juga menerima video tular tersebut. Saya bertanya kembali kepada pengirim untuk mendapatkan maklumat berkaitan lokasi kejadian dan masa kejadian, namun tiada jawapan.

Iklan

"Kes pertama adalah di Banting, Selangor dan siasatan akan dijalankan secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Iklan

Noor Azmi turut tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa kejadian itu disebabkan oleh kecuaian pihak petugas kesihatan.

"Perkara itu tidak boleh terjadi kerana pemberian vaksin mempunyai kaedah iaitu setiap pemberian perlu diperiksa oleh dua atau tiga orang dalam ruang vaksinasi disediakan.

"Malah, bahagian Farmasi akan memeriksa botol vaksin. Botol-botol ini tidak dibuang tapi kita akan periksa kembali," ujar beliau.

Noor Azmi berkata, beliau berasa kesal penularan dengan video tersebut.

"Perkara vaksin ini bukanlah main-main. Ia perkara serius kerana menyelamatkan nyawa dan seluruh rakyat negara ini.

"Ini bukan masa untuk melawak. Saya amat tidak setuju dan sangat kesal dengan berita tular seperti ini," katanya.

Pada Rabu, tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin Covid-19 di sebuah hospital.

Menurut laporan itu, lelaki berkenaan merakamkan video proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman tersebut, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut mengesahkan menerima laporan lelaki berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat laporan terima suntikan vaksin picagari kosong

Mustahil penerima diberi suntikan tanpa vaksin: JKNS