ALOR SETAR - Seramai 12 lagi kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pertambahan kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan yang dicatatkan adalah seramai 42 orang setakat Jumaat.
"Cuma 12 kakitangan yang baru dikesan positif berada pada kategori satu dan dua, sekali gus menjalani kuarantin di rumah masing-masing ketika ini.
"Namun, kita belum dapat melakukan pengesahan sama ada kakitangan yang dijangkiti ini melibatkan varian lama, Delta ataupun Beta," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keadaan kakitangan yang dijangkiti Covid-19 juga tidak membimbangkan.
Tambah beliau, usaha mengekang penularan Covid-19 di hospital sedang dilaksanakan melalui kawalan secara agresif.
Katanya, keadaan di hospital terkawal dengan kerja sanitasi wad dan pembersihan dilakukan secara berperingkat sejak beberapa hari lepas.
Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati memberitahu, kes kecemaaan di HSAH beroperasi seperti biasa dan ada pembedahan ditangguhkan namun akan dijadualkan semula selepas ini.
Pada Rabu lepas, 30 kakitangan HSAH melibatkan doktor, jururawat dan kakitangan pembersihan dilaporkan positif Covid-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.
ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani tidak dikenakan PKPD