Shahril Hamdan perjelas situasi sebenar mesyuarat MKT UMNO

Iklan
Kenyataan Shahril Sufian di Facebook beliau mengenai situasi sebenar mesyuarat MKT UMNO.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan memperjelaskan situasi sebenar mengenai kenyataan rasmi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada awal pagi Khamis yang dipersoalkan pihak tertentu.

Menurut beliau, keadaan menjadi keruh apabila butiran mesyuarat yang bermula malam Rabu tersebut dibocorkan begitu sahaja tanpa hormat kepada kerahsiaan parti.

Iklan
Iklan

"Apa yang sebenarnya berlaku? Pelbagai pandangan disuarakan dalam mesyuarat MKT kelmarin (Rabu) dan diraikan tanpa sekatan atau tapisan.

"Setelah perbincangan tamat, beberapa ketetapan dibaca oleh Presiden, selain mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri atas pelantikan beliau.

Iklan

"Dua ketetapan utama selain urusan dalaman parti iaitu parti menarik sokongan dari Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO diberi kebebasan menggunakan budi bicara dalam sebarang pengundian percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat kelak,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Ujar beliau, setelah mesyuarat tamat pada awal pagi Khamis, kenyataan presiden parti dibaca secara maya kepada media dan disusuli kenyataan tambahan oleh Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Iklan

Menurutnya, kedua-dua kenyataan tersebut merangkumi dua ketetapan utama dalam mesyuarat berkenaan.

"Ternyata situasi rakyat tidak menjadi lebih baik atau gembira membaca butiran persaingan atau percaturan politik terbuka apatah lagi di saat ini.

"Didoakan semua pemimpin dan figura dalam UMNO diberi kebijaksanaan dalam kenyataan, kerja dan gerak langkah agar semua aset parti kita dapat digemblengkan menjadi suatu ketumbukan padu untuk penilaian rakyat,” katanya.