Musa Hassan sekali lagi mohon batalkan saman fitnah Hannah Yeoh

Iklan
Hannah Yeoh dan Musa Hassan

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sekali lagi memohon untuk membatalkan saman fitnah, difailkan terhadapnya oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah, semasa beliau berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari tahun lalu.

Iklan
Iklan

Musa selaku defendan, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Azam Aziz & Co. pada 31 Mei lalu, antaranya atas alasan tindakan plaintif (Hannah Yeoh) memfailkan tuntutan saman itu adalah suatu yang memalukan, serta penyalahgunaan proses mahkamah.

"Ini kerana, plaintif secara tiba-tiba tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sebelum ini, melibatkan guaman pertama dengan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, sedangkan guaman kedua telah dimulakan dan difailkan.

Iklan

"Tindakan plaintif itu ternyata prejudis, kerana wujud dua tindakan guaman dan prosiding di sisi undang-undang bagi suatu kausa tindakan, pihak-pihak dan kertas kausa yang sama kandungannya terhadap defendan,” kata Musa dalam permohonan itu.

Peguam Mohd Khairul Azam Abd Aziz yang mewakili Musa ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pengurusan kes ditetapkan pada 5 Ogos ini.

Iklan

Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff membatalkan saman Hannah terhadap Musa, selepas mendapati Hannah gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan, namun plaintif bebas untuk memfailkan semula saman.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu kemudiannya memfailkan semula saman pada hari yang sama (3 Mei).

Berdasarkan tuntutan saman itu, Hannah mendakwa Musa memberi satu ucapan pada forum bertajuk ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’

Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas, selain telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.

Beliau memohon, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa, pegawai atau ejennya, daripada menyebut, menerbit, menyebabkan untuk diterbitkan perkataan, yang didakwa berunsur memfitnah selain menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan selain kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah. - Bernama