PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menghantar skuad Bawah 20 tahun (B-20) kendalian Brad Maloney bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Mongolia mulai 27 hingga 31 Oktober depan.
Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.
"Ini merupakan program jangka panjang FAM bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang mana barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu adalah dari skuad B-20 kebangsaan ketika ini iaitu para pemain yang berusia 20 tahun dan ke bawah pada tahun ini (2021).
"Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam pada 2021 (telah ditunda ke 2022) dan di Kemboja pada 2023.
"Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang," kata Kim Swee pada menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Malayia bakal beraksi dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia bagi pada aksi kelayakan berkenaan bagi merebut 15 slot pasukan terbaik ke pusingan akhir edisi ke lima kejohanan tersebut di Tashkent, Uzbekistan Jun 2022, kelak.
ARTIKEL BERKAITAN: Skuad B-23 berdepan laluan mudah pada aksi kelayakan Piala Asia
Kesemua aksi berkenaan telah ditetapkan pada majlis undian yang dikendalikan oleh pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pada Jumaat yang turut menyaksikan 42 pasukan bertanding dibahagikan kepada 11 kumpulan iaitu enam kumpulan bagi Zon Barat dan lima (Zon Timur).
Juara setiap kumpulan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan juga tuan rumah, Uzbekistan bagi membentuk 16 pasukan terbaik yang bakal beraksi pada Piala Asia B-23, 2022 yang dijadual berlangsung di Tashkent pada Jun 2022 kelak.
Untuk rekod, Piala Asia B-23 sebelum ini dikenali sebagai Kejuaraan B-23 AFC yang mana pada empat edisi terdahulu sejak 2013, Malaysia hanya sekali berjaya melepasi saingan kelayakan dan layak ke pusingan akhir pada 2018 di China dengan mara sehingga suku akhir sebelum tewas kepada Republik Korea.
Mengulas mengenai undian berkenaan, Kim Swee berkata, ia dilihat bukan laluan mudah kerana skuad negara bakal berdepan Laos yang banyak menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
Selain itu katanya, bagi perlawanan kedua skuad kendalian Brad Malondey itu bakal berdepan tuan rumah Mongolia dan aksi ketiga berdepan Thailand.
"Bagi undian kali ini, bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J ini kerana kita kena faham yang kita menghantar skuad B-20 dan apa yang lebih penting, pendedahan kepada para pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.
"Kita akan bertemu Laos pada 27 Oktober bagi perlawanan pertama yang mana mereka merupakan lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
"Perlawanan kedua, Mongolia (29 Oktober) juga sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga pada 31 Oktober, kita bakal berdepan Thailand juga merupakan musuh tradisi kita dan juga pencabar utama,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan menjelang saingan kelayakan berkenaan, Kim Swee berkata, Maloney, sudah pasti mempunyai perancangannya yang tersendiri.
Katanya, kini, Maloney mungkin dalam proses mengumpulkan pemain bagi mengikuti kem latihan pusat pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang akan datang.
"Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023,” katanya.