BANGKOK - Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 9,276 kes baharu Covid-19, lonjakan terbesar dalam kes harian memaksa kerajaan melaksanakan langkah pencegahan lebih ketat bermula Isnin ini untuk mengekang virus tersebut.
Selain itu, sebanyak 72 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah korban kini seramai 2,534 dan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 317, 506 sejak pandemik bermula Januari tahun lalu.
Bangkok, pusat pandemik terbaharu mencatatkan 3,116 kes dan 39 kematian.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, perintah berkurung akan dikenakan mulai 9 malam hingga 4 pagi pada Isnin (12 Julai) di Bangkok dan sembilan wilayah lain.
Di 'kawasan kawalan maksimum dan ketat' atau zon merah gelap iaitu Bangkok dan lima wilayah - Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom serta empat wilayah selatan - Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat, perhimpunan melebihi lima orang tidak dibenarkan.
"Orang ramai dinasihatkan jangan keluar rumah bermula 9 malam hingga 4 pagi, hanya keluar jika mempunyai urusan penting," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat CCSA yang membincangkan dan meluluskan sekatan baharu ini.
Dr Apisamai berkata, pusat pemeriksaan akan didirikan mulai Sabtu untuk meminimumkan pergerakan orang ramai terutama dari zon merah gelap ke wilayah lain.
Di Bangkok dan lima wilayah jiran, pusat beli-belah, klinik kecantikan, spa dan pusat urut akan ditutup mulai Isnin.
Bagaimanapun, katanya, pasar raya, restoran, bank dan farmasi serta pusat vaksinasi di pusat beli-belah akan dibuka dan ditutup pada 8 malam.
Selain itu, restoran (hanya untuk bawa pulang), pasar dan kedai serbaneka (di luar pusat beli-belah) akan ditutup dari 8 malam hingga 4 pagi.
"Semua agensi kerajaan digalakkan bekerja dari rumah dengan semaksimum yang mungkin," katanya.
Mesyuarat CCSA pada Jumaat turut meluluskan cadangan melanjutkan tempoh darurat kepada dua bulan lagi hingga September. - Bernama