Misi perdagangan Azmin ke Austria berjaya tarik minat pelabur

Iklan
Mohamed Azmin dan Dr Margerete Schramböck tandatangani perjanjian untuk perkukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Austria.

SHAH ALAM - Misi perdagangan Malaysia ke Austria berjaya menarik minat pelabur untuk meneroka pertumbuhan bidang perdagangan dan pelaburan dua hala dengan negara berkenaan.

Satu perjanjian ditandatangani ketika pertemuan antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Dr Margarete Schrambock.

Iklan
Iklan

Menerusi perjanjian tersebut, pegawai kanan terpilih akan mengadakan dialog dan pertukaran idea secara langsung untuk mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan kerjasama ekonomi.

"Oleh kerana Malaysia memfokus pada isu-isu persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), Mohamed Azmin memberi jaminan kepada Dr Schrambock bahawa Malaysia akan memudahkan syarikat-syarikat Austria yang amat mementingkan tenaga bersih bagi produk dan perkhidmatan mereka," kata MITI dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Azmin kemudian mengadakan perbincangan meja bulat dengan Dewan Ekonomi Persekutuan Austria (WKO).

Pada pertemuan itu, beliau turut bersetuju bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memperhebatkan penglibatan strategik dan kerjasama antara perniagaan.

Iklan

"Perkara ini melibatkan industri seperti pembuatan pintar, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa, perubatan peranti, dan tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, Azmin turut mengadakan perbincangan bersama Stellantis NV, iaitu sebuah syarikat kereta terkemuka global dengan kemudahan pembuatan di 30 negara dan mempunyai lebih daripada 300,000 pekerja.

Perbincangan ini memberikan tumpuan supaya Stellantis dapat meningkatkan pelaburan mereka, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang mempromosikan kenderaan elektrik (EV) melalui insentif khusus yang merangkumi CBU sebelum persiapan produksi CKD.

Dalam kunjungan ke negara itu juga, Azmin turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat Austria Technologie dan Systemtechnik AG (AT&S) yang terletak di Loeben.

Ia berikutan, syarikat terbabit telah memilih Malaysia sebagai kilang pengeluaran pertama di Asia Tenggara untuk menghasilkan substrat litar bersepadu (IC), dengan jumlah nilai pelaburan RM8.5 bilion.

Tambah kenyataan itu, satu mesyuarat telah diadakan bersama Pengerusi Lembaga Penyeliaan, Hannes Androsch dan Pengerusi Lembaga Pengurusan, Andreas Gerstenmayer serta Ketua Pegawai Eksekutif AT&S mengenai kerjasama dalam penyelidikan dan pendidikan universiti.

"Satu MoU ditandatangani dengan fokus pada kerjasama dalam pengajaran dan latihan dalam produksi serta penyelidikan mengenai teknologi canggih," menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, nilai perdagangan antara Austria dan Malaysia melonjak sebanyak 32.2 peratus dengan jumlah RM1.31 bilion dalam lima bulan pertama tahun ini.