SHAH ALAM - Rakyat Malaysia bukan sahaja kecewa, malah marah terhadap situasi politik negara yang tidak stabil pada ketika ini sehingga menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.
Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, rakyat pada ketika ini menginginkan satu kerjasama dalam kalangan ahli politik bagi memberi khidmat terbaik untuk menyelesaikan masalah negara.
Menurutnya, kerajaan dan pembangkang perlu bersama menyelesaikan isu berkaitan rakyat terlebih dahulu sebelum membuat agenda politik masing-masing.
"Rakyat memang tidak suka dengan keadaan sekarang ini. Mereka mahu kerajaan yang stabil, boleh mentadbir negara dan menyelesaikan isu rakyat, bukan isu politik kepimpinan. Perspektif rakyat sekarang, pemimpin terlalu banyak berpolitik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dari sudut politik, kata Mohd Azizuddin, tindakan yang dilakukan Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk kepentingan parti itu semata-mata.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta
Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kerugian kepada UMNO dari segi politik dan pada masaya yang sama, tindakan itu tidak memberikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelebihan dalam memerintah.
"UMNO mahu dapatkan balik kerajaan, jadi kena rancang sesuatu. Parti lain juga sama. Semua (parti) sekarang ini sedang cari jalan. Bersatu pula cari jalan untuk kekalkan kuasa.
"Jadi, faktor ini menyebabkan mereka berpolemik ke arah itu (kuasa) dan dilihat sebagai satu tumpuan. Bagi orang politik, mereka terpaksa buat bagi mengelakkan kerugian di pihak mereka.
"Kalau UMNO tak buat, mereka terlambat. Kalau mereka tunggu Covid-19 selesai mungkin tahun depan tidak selesai lagi,” kata beliau lagi.
Menurutnya, ahli politik perlu melupakan perbalahan dan permasalahan terlebih dahulu dalam keadaan yang kritikal ini (situasi Covid-19).
"Perdana menteri boleh panggil persidangan ketua parti untuk kompromi selesaikan isu Covid-19 dahulu. Semua kena bekerjasama dan tetapkan tempoh. Apabila selesai, tetapkan tarikh mengundi pula. Ini sepatutnya.
"Kompromi daripada semua parti diperlukan untuk saling bekerjasama dan menyelesaikan isu ini. Boleh nak buat, kalau nak. Masalahnya tidak mahu buat bahkan berbalah dari tahun lepas serta saling mengkritik dan sebagainya."Semua pihak perlu berlapang dada untuk berunding untuk cari penyelesaian politik sementara demi rakyat,” katanya.
Menurutnya, masalah yang tidak selesai hanya menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.