KUALA LUMPUR - Wanita Umno akan menganjurkan Program Wanita dan Isu Semasa (Wise) yang merupakan penerangan tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Menara Dato’ Onn, esok.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, program yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari itu terbuka kepada semua ahli Wanita Umno, Muslimat Pas, badan-badan bukan kerajaan (NGO), profesional, pemimpin serta pelajar universiti wanita.
"Wanita Umno melihat bahawa masyarakat pelbagai peringkat harus peka dan memahami perkembangan isu ICERD.
"Apatah lagi isu ini melibatkan usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan membuat ratifikasi treati ICERD dan telah membangkitkan kemarahan orang Melayu kerana pelbagai peruntukan di bawahnya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program Wise akan dikendalikan moderator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan menampilkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai ahli panel.
Pada masa sama, Noraini turut menegaskan bahawa program tersebut bukanlah merupakan program politik sebaliknya adalah program ilmiah yang dapat membantu masyarakat memahami isu ICERD dengan lebih jelas dan mendalam.
"Pelobi ICERD sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini sejak ketika pentadbiran BN.
"Namun ketika itu, BN bersikap tidak melayan desakan untuk menandatangani ICERD, yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara,” katanya.
Beliau percaya, perlaksanaan ICERD dipercayai akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi Diraja, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera bahawa kedudukan mereka akan terancam.
"Implikasi perjanjian ICERD amat besar terhadap asas pembinaan negara sejak merdeka.
"Kesan itu akan mengubah Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara pemimpin Melayu, India dan Cina, ketika menuntut kemerdekaan pada 1957,” jelasnya.
Wanita Umno anjur program beri pemahaman tentang ICERD
Iklan