AMPANG - Polis menyerbu sebuah kedai gunting di AU3, Taman Keramat di sini selepas didapati menjadi tempat warga Indonesia berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, empat lelaki termasuk pemilik kedai warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan dipercayai menjadikan premis itu sebagai tempat mereka berkumpul dengan hanya menutup langsir setiap hari pada waktu malam sepanjang PKPD dilaksanakan.
Menurut beliau, serbuan pada jam 10 malam itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat tentang aktiviti mencurigakan di premis tersebut menjelang lewat malam hingga awal pagi daripada penduduk kawasan berkenaan.
"Penduduk memaklumkan mereka sering melihat beberapa individu keluar masuk di kedai gunting dan kedai runcit bersebelahan yang disyaki dijaga oleh warga asing selepas jam 10 malam sehingga awal pagi.
"Mereka (warga asing) sesuka hati melanggar undang-undang yang ditetapkan sedangkan masyarakat lain terutama penduduk tempatan berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi mengekang penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Antara kesalahan dikesan adalah berkumpul dalam kedai gunting, menjalankan aktiviti gunting rambut, memiliki rokok seludup dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Farouk memaklumkan pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan daripada orang ramai mengenai sebarang aktiviti yang melanggar SOP ditetapkan kerajaan.