RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas sebuah kotak mengandungi ganja seberat lima kilogram (kg) yang ditinggalkan oleh seorang lelaki di pangkalan haram Pos Man, di sini pada Jumaat.
Dalam serbuan jam 8 malam itu, lelaki berkenaan terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke Thailand bagi mengelak dicekup anggota PGA.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan dadah itu dilakukan hasil rondaan rutin yang dijalankan oleh pihaknya di kawasan pangkalan haram.
"Semasa melakukan rondaan, kita telah melihat seorang lelaki sedang memegang kotak dalam keadaan mencurigakan dekat sebuah pondok berhampiran pangkalan haram itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, melihat kehadiran anggota PGA, lelaki itu telah bertindak terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke arah negara jiran.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke lokasi telah menjumpai sebuah kotak mengandungi paket-paket ganja mampat seberat lima kg.
"Selain paket-paket dadah, kita turut merampas satu unit picagari.
"Siasatan awal mendapati dadah-dadah itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah dan PGA tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu untuk pasaran tempatan," katanya.