TONGGAK pertahanan England, John Stone mengakui The Three Lions mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan penanti 55 tahun menjulang kejohanan utama ketika menentang Itali dalam aksi Euro di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin ini.
Menurutnya, para pemain England tidak boleh melepaskan peluang tersebut apatah lagi mereka melalui pelbagai ranjau berliku untuk sampai ke tahap ini.
"Untuk mara ke final ini adalah satu impian sejak kejohanan Euro kali ini bermula. Tetapi, kami telah membuktikan mampu mara sejauh ini. Kami telah berada di sini dan sekarang kami tidak boleh mempersiakan peluang untuk menang.
"Kami telah mengatasi cabaran sukar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, belajar banyak perkara dan mendapat pengalaman berguna dalam segala aspek.
"Kami masuk dalam kejohanan ini mengikut cara kami dan siapa pun yang bermain harus memberikan yang terbaik untuk jersi yang kami pakai dan negara ini. Kami gembira melihat pasukan England berjaya tampil lebih bagus. Ia satu detik istimewa buat kami," katanya.
England berpeluang meraih kejuaraan kedua dalam kejohanan antarabangsa selepas merangkul Piala Dunia pada 1966 sekiranya berjaya menewaskan skuad kendalian Roberto Mancini pada awal pagi Isnin ini.
Dalam pada itu, Stones turut memuji impak yang telah berjaya dibawa oleh Gareth Southgates selain melabel pengurus berusia 50 tahun itu mempunyai kualiti unik untuk mengendalikan pasukan.
"Setiap pengurus yang pernah saya bekejra memiliki keunikan dan mempunyai falsafah mereka sendiri. Saya rasa Gareth mencipta budaya yang luar biasa dalam skuad dan ketenangan kami, ini adalah kualiti uniknya sebagai seorang dan pengurus.
"Dia mempunyai kakitangan yang hebat di sekelilingnya dan skuad yang luar biasa dengan watak hebat, salah satu ciri terbaiknya adalah ketenangannya ketika menghadapi tekanan," katanya.