Gagal patuh SOP: Pengusaha durian dikompaun MPS, polis

Iklan
Gambar tular kehadiran orang ramai membeli durian di kedai tersebut pada Jumaat.

GOMBAK - [DIKEMASKINI] Pengusaha kedai durian di Taman Bolton di sini dikenakan kompaun RM10,000 selepas dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pemeriksaan dilakukan pada Jumaat selepas menerima maklumat sekitar jam 4 petang yang mengatakan premis tersebut tidak mematuhi SOP yang dikeluarkan MKN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut pasukan Team Pematuhan IPD Gombak telah membuat pemeriksaan di kedai tersebut dan mendapati kedai tersebut mempunyai surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi perkhidmatan produk makanan dan minuman untuk beroperasi.

"Bagaimanapun kita dapati jumlah pekerja yang bekerja di kedai tersebut melebihi kapasiti yang ditetapkan oleh MKN," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Zainal Mohamed berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Pada Jumaat, tular gambar di media sosial keadaan premis berkenaan dipenuhi orang ramai yang beratur panjang untuk mendapatkan durian dengan tawaran harga murah.

Iklan

Difahamkan, kedai tersebut membuat promosi jualan RM5 untuk satu kilogram durian kampung.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Ahmad Fauzi Ishak berkata, MPS telah mengeluarkan dua kompaun terhadap premis terbabit pada 5 Julai lalu atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menyebabkan halangan.

"Tindakan dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK3), iaitu tiada lesen tred perniagaan dengan jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM1,000.

"Kompaun turut dikeluarkan di bawah Seksyen 46 (1) melibatkan halangan di atas jalan tepi premis.

Pemantauan dan tindakan susulan terhadap premis tersebut akan dilakukan dari masa ke masa," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati premis terbabit masih tidak beroperasi setakat jam 11 pagi tadi.