PKPD Dungun: Tiga SJR, tutup 11 laluan tikus

Iklan
Tiga SJRakan bermula tengah malam Sabtu bagi menguatkuasakan PKPD selama 14 hari di tiga lokaliti di Mukim Sura. Gambar hiasan Gambar kecil: Baharudin

DUNGUN- Tiga sekatan jalan raya (SJR) akan bermula tengah malam Sabtu bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di tiga lokaliti di Mukim Sura.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesemua SJR itu melibatkan laluan seperti di Lorong Angsana, Lorong Balai Raya dan simpang tiga Jalan Gong Pasir.

Iklan
Iklan

Katanya, selain itu, 11 lorong tikus turut ditutup melibatkan Lorong Balai Raya satu hingga tujuh, dua susur keluar ke Kampung Che Lijah, pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Pasir serta di pintu belakang pagar sekolah berkenaan.

"Buat permulaan ini, kami menggunakan pagar besi bagi menutup laluan tersebut namun kita dalam usaha mencari alternatif dengan berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya kesemua laluan ini dapat ditutup dengan penghadang batu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Jelas beliau, pihaknya sudah memulakan SJR dan rondaan di kawasan terlibat sejak Jumaat bagi memantau pergerakan orang awam keluar masuk di kawasan tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, kita akan pastikan kawalan ketat bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD," katanya.

Iklan

PKPD Mukim Sura berkuatkuasa bermula pada Sabtu hingga 23 Julai ini di tiga lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam membabitkan 1,570 penduduk dan 318 buah rumah.