[VIDEO] Hospital Klang hampir lumpuh, salur segera RM20 juta: MP Klang

Iklan
Santiago turut mengongsikan gambar keadaan pesakit Covid-19 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada Jumaat malam yang terpaksa bersesak dan berdepan masalah kekurangan katil pesakit.

KLANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menyalurkan segera peruntukan RM20 juta kepada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) yang kini dianggap hampir 'lumpuh'.

Hal itu susulan hospital kerajaan berkenaan sedang bergelut untuk menangani jumlah pesakit Covid-19 yang sudah melewati kapasiti.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pengumuman kerajaan yang meluluskan suntikan dana RM1.1 juta kepada pengurusan hospital berkenaan baru-baru ini dianggap tidak masuk akal dan 'melucukan'.

Jelas beliau, peruntukan itu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mendesak pengurusan hospital bagi menambah bilangan alat bantuan pernafasan bernilai RM200,000 seunit, katil pesakit, tambahan kakitangan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat serta bekalan makanan dan perubatan kepada pesakit Covid-19 yang semakin meningkat saban hari.

Iklan

"Saya mengalu-alukan bantuan tambahan 100 katil pesakit daripada KKM dan kakitangan tambah bagi membantu pengurusan hospital, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 setiap hari.

"Daripada kerajaan memberi penyelesaian 'stop gap' yang tidak sepenuhnya berkesan, saya menggesa KKM menyalurkan terus RM20 juta peruntukan khas kepada pengurusan HTAR serta-merta bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Iklan

"Peruntukan RM1.1 juga disalurkan sebelum ini dianggap tidak masuk akal. Kerajaan perlu menambah RM20 juta bagi membolehkan kemudahan infrastruktur kesihatan seperti fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU), tangki oksigen, alat ventilator dan katil pesakit dinaik taraf," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keadaan HTAR yang disifatkannya semakin memburuk pada saat jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital meningkat saban hari.

Sebelum ini beberapa netizen kongsikan video serta gambar tular yang menyaksikan sebahagian besar pesakit Covid-19 terpaksa ditempatkan di luar pekarangan bangunan HTAR, susulan ruang katil pesakit di dalam bangunan hospital itu didakwa sudah melebihi kapasiti.

Mengulas keadaan itu, Santiago mendedahkan beliau dimaklumkan pesakit-pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di HTAR ketika ini berdepan masalah kekurangan makanan dan ketiadaan katil pesakit.

Bahkan beliau mengakui turut terkejut apabila mendapati sebahagian besar waris pesakit Covid-19 terpaksa membekalkan sendiri makanan kepada ahli keluarga yang dimasukkan ke hospital susulan masalah berkenaan.

"Lebih menyedihkan, ramai dalam kalangan pesakit yang terpaksa duduk di kerusi sejak dua hari dimasukkan ke hospital susulan masalah kekurangan katil pesakit.

"Ya, kita sedar fasiliti kesihatan negara berdepan kekangan pada saat kritikal ketika ini, namun KKM perlu mengambil tindakan proaktif pada saat peningkatan kes Covid-19 mencatatkan peningkatan tinggi sejak beberapa bulan lalu.

"Kerajaan harus bertindak secepat mungkin kerana keadaan di HTAR sangat menyedihkan - kekurangan katil pesakit, ketiadaan makanan untuk pesakit, doktor dan jururawat keletihan setelah bertugas selama 14 hingga 16 jam sehari serta masalah peralatan perubatan yang kerap rosak,"katanya.