Buntu tampil rutin terjunan sempurna kebimbangan terbesar penerjun

Iklan
Nur Dhabitah Sabri - Foto Bernama

HILANG semangat serta buntu untuk melakukan rutin terjunan sempurna adalah situasi boleh terjadi kepada mana-mana penerjun di setiap peringkat pertandingan, kata atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri yang akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, bulan ini.

Nur Dhabitah, 21, berkata, selain kebimbangan mengalami kecederaan ketika sedang beraksi, keadaan yang menjadikan seseorang atlet sehingga tidak mampu untuk mempersembahkan gaya terjunan biasa dilakukan turut menjadi igauan paling ngeri buat setiap penerjun.

Iklan
Iklan

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, berdasarkan cerita dalam kalangan penerjun antarabangsa, dalam sesetengah keadaan perkara tersebut memaksa seseorang penerjun itu menarik diri daripada meneruskan aksi mereka.

"Di Malaysia saya tidak tahu adakah ia pernah terjadi sebelum ini, tetapi ada kes di luar negara ada atlet terpaksa berhenti kerana dia sudah tidak tahu macam mana nak terjun, perasaan dan keyakinan itu sudah hilang dan dia tidak boleh melakukannya.

Iklan

"Walaupun somersault, dia dah tidak boleh buat. Jadi perkara seperti itu pun sesuatu yang kita (penerjun) takutkan. Ia sesuatu yang orang fikir tidak akan terjadi tetapi ia tetap berlaku,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Bita ketika dihubungi Bernama.

Nur Dhabitah berkata, sekiranya meneruskan terjunan ketika berdepan situasi sedemikian, seseorang penerjun berdepan risiko untuk mendapat kecederaan dan ia satu detik yang amat mendukacitakan selepas banyak masa dan tenaga dihabiskan dalam membuat persediaan.

Iklan

"Kalau anda melakukan terjunan dan pada masa sama mempunyai perasaan takut, perkara itu membahayakan. Saya mendengar cerita ini daripada rakan penerjun, ia amat menyedihkan jika berlaku kerana anda sememangnya boleh melakukan (terjunan) tetapi secara tiba-tiba saja tak boleh,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Dhabitah yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dengan bergaya selepas merangkul pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 yang berlangsung di sini, mengakui sangat menyukai dan menikmati kariernya di kolam renang.

Jelas Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017/2018 itu, kenangan manis sepanjang bergelar penerjun adalah memenangi pertandingan, menyertai kejohanan bersama rakan seperjuangan yang dianggap sebagai keluarga kedua, selain peluang berkelana ke luar negara.

"Apa yang pahit adalah bila anda kalah dan hilang keyakinan diri. Itulah sebabnya ada keluarga kedua, rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan dan galakan pada saya dan satu benda yang saya nak buat jika masa boleh diputar balik, adalah yakin pada diri sendiri," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menceritakan titik terendah dalam kariernya, Nur Dhabitah berkata, ia terjadi sewaktu beliau bertanding pada Kejohanan Dunia Fina 2019 di Gwangju, Korea Selatan selepas terkandas seawal pusingan kelayakan dengan menamatkan saingan di tempat ke-25 daripada 51 peserta.

Beliau berkata, ketika itu setiap perkara dilakukan dalam memburu kejayaan di kejohanan berkenaan tidak berjalan seperti yang dirancang bersama jurulatihnya dan keadaan itu membuatkannya dirinya terasa sangat kosong.

"Semuanya tidak menjadi, buat itu tak kena buat ini tak kena. Saya rasa pada waktu itu seperti nak mengambil beg, terus tinggalkan tempat itu dan balik ke Malaysia," katanya sambil mengakui jurulatihnya dari Australia, Christian Brooker memainkan peranan penting dalam mengembalikan semula semangatnya.

Sementara itu, menceritakan mengenai cabaran dihadapi seorang penerjun, Nur Dhabitah berkata seperti atlet lain, terlalu banyak pengorbanan terpaksa dibuat dalam usaha menggapai cita-cita melakar kejayaan di peringkat tertinggi.

Di tambah dengan ketidaktentuan pandemik Covid-19, Nur Dhabitah mengakui perasaan tertekan sedikit sebanyak dirasainya apabila tidak dapat berjumpa dan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga susulan berada dalam gelembung sukan menjelang Sukan Olimpik Tokyo.

Jelasnya, impak pandemik tidak begitu membantu dalam persediaan ke Tokyo, malah apa yang dihadapinya bersama barisan atlet lain sesuatu yang tidak pernah diduga.

"Dulu kalau menjalani kem latihan di Australia atau China, stress juga tetapi kita tahu akan dapat balik berjumpa keluarga, jadi kita boleh masih bersabar. Tetapi kali ini kita tak tahu bila boleh balik, tak tahu bila lagi kita akan stuck dekat sini, tak tahu bila Covid-19 akan pulih di Malaysia, semuanya jadi tanda soal," katanya.

Namun, sebagai seorang atlet profesional yang telah banyak membuat penampilan di kejohanan berprestij termasuk Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2018 itu akan sentiasa cuba menggalas tanggungjawabnya sebaik mungkin. - Bernama