Maloney tagih sentuhan 'awang Eropah'

Iklan
Luqman Hakim antara pemain yang berpangkalan di Eopah yang dijangka membarisi skuad B-20 negara.

PENGENDALI skuad Bawah 20 tahun (B-20) Malaysia, Brad Maloney sedang menilai beberapa pemain yang berpangkalan di luar negara untuk dipanggil menyertai kem latihan bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Maloney berkata, dia sudah mempunyai senarai nama lebih 50 pemain termasuk pemain yang sedang mewakili beberapa kelab di Eropah.

Iklan
Iklan

"Memang ada beberapa pemain dalam pemerhatian kami. Mereka semua termasuk Luqman Hakim (Shamsudin), Omar Raiyan (Kama Azlan), Adam Hamid dan ramai lagi. Seperti Luqman Hakim, dia sedia untuk membantu pasukan.

"Omar dan Adam pula memang kami sedang monitor dan kami juga berhubung dengan salah seorang ejen mereka. Saya pernah lihat Omar sebelum ini manakala Adam pernah berlatih bersama kami dalam satu call up sebelum ini.

Iklan

"Saya juga ada melihat pemain muda lain seperti di Jerman yang mungkin sedia kembali memperkuatkan pasukan," katanya dalam sidang media secara maya pada Sabtu.

Malaysia mempunyai beberapa pemain muda yang beraksi di luar negara seperti Luqman Hakim yang kini bersama kelab Belgium, KV Kortrijk; Omar Raiyan Kama Azlan dan Adam yang beraksi dengan Red Star Belgrade selain Jaami Qureshi yang sedang beraksi bersama kelab Brighton and Hove Albion.

Iklan

Dalam pada itu, Maloney turut mengakui perlu melihat kepada beberapa faktor sebelum dapat memanggil pemain yang berpangkalan di luar negara memandangkan tempoh jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang agak singkat.

"Kita juga perlu melihat kepada beberapa kekangan yang mungkin dihadapi kerana ia dalam tempoh window yang singkat dengan mengambil kira mereka kena kuarantin dan sebagainya.

"Semua faktor ini kami kena teliti, namun sudah tentu saya memantau kesemua pemain yang ada ini," ujarnya yang pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad senior dan B-23 negara.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, badan induk bola sepak negara itu akan sentiasa membantu untuk mendapatkan pemain yang dimahukan Maloney.

"Di pihak FAM, kita akan sentiasa memberikan sokongan kepada Brad mengenai siapa pun pemain yang beliau mahukan dalam pasukan termasuk pemain yang berpangkalan di luar negara," jelasnya.