Peniaga degil: 1,369 kasut jenama tiruan dirampas

Iklan
Mohd Ridzuan (kanan) bersama pegawainya sedang memeriksa kasut berjenama tiruan yang dirampas tadi.

GEORGETOWN - Sebanyak 1,369 pasang kasut pelbagai jenama tiruan dirampas dalam satu operasi oleh sepasukan penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang tadi.

Serbuan itu adalah kali kedua dibuat ke atas kedai menjual kasut yang terletak di pekarangan pusat membeli belah Bukit Jambul di sini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, premis itu pernah diserbu namun peniaga tersebut masih berdegil dengan menjual kasut berjenama tiruan kepada pengunjung pusat membeli belah terbabit.

Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, kesemua rampasan itu bernilai RM68,450.

Iklan

Menurutnya, peniaga tersebut pernah dikompaun RM5,000 pada Ogos tahun lalu atas kesalahan yang sama.

"Serbuan pertama dibuat pada Ogos lalu selepas kita menerima aduan orang ramai. Hasil risikan, kita merampas barangan tersebut dan mengeluarkan kompaun kepada peniaga.

Iklan

"Tidak serik dengan tindakan itu, seminggu selepas itu, peniaga yang sama telah dikompaun sekali lagi sebanyak RM5,000 atas kesalahan sama namun di premis jualan lain yang terletak di dalam pusat beli-belah ini," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, selepas tindakan itu, pihaknya mendapati peniaga berkenaan masih tidak serik dan menjual barangan tiruan tersebut di tapak kedai yang sama.

"Kita mendapati peniaga ini masih berdegil dan hari ini sekali lagi kita menyerbu dan merampas kasut berjenama tiruan yang dijual di pekarangan pusat beli-belah ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM15,000 bagi setiap unit barangan bagi kesalahan pertama dan kedua dan penjara tidak melebih tiga tahun," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras penjualan produk jenama tiruan dari masa ke semasa di seluruh negeri.

"Ini kerana, kita kerap mendapat aduan dari pembeli dan orang ramai tentang kegiatan ini.

"Selain itu, kita juga tidak mahu Pulau Pinang khususnya dan negara ini dikenali sebagai syurga atau pusat yang menjual barangan tiruan," katanya.