KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini, mulai stabil dan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ketika ini, mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.
Katanya, lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas adalah berikutan lebih banyak saringan bersasar Covid-19 dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.
"KKM sudah jangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.
"Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘The Nation’ bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, malam ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua Covid-19 sebelum ini, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.
Beliau berkata, pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.
Menjelaskan situasi kapasiti beberapa hospital yang dilaporkan sesak dengan jumlah pesakit Covid-19, beliau berkata, KKM sedang giat meningkatkan keupayaan hospital untuk menampung pesakit terutama individu dengan jangkitan tahap empat dan lima di unit rawatan rapi (ICU).
"Masalah yang kami hadapi ialah pesakit tahap empat dan lima mengambil masa lama untuk dirawat dalam ICU antara dua hingga lima minggu termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
"Inilah kekangan yang dihadapi kerana jumlah pesakit tahap empat dan lima juga bertambah dan menjadi sesak. Oleh sebab itu KKM sedaya upaya meningkatkan lagi kapasiti hospital,” katanya.
Terdapat lima tahap jangkitan Covid-19. Tahap satu - tidak bergejala; tahap dua - bergejala ringan; tahap tiga - bergejala dan mengalami radang paru-paru; tahap empat - bergejala, mengalami radang paru-paru dan perlukan bantuan oksigen; serta tahap lima - bergejala kritikal dan memerlukan rawatan di ICU.
Pada Sabtu (10 Julai), Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes baharu dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja. - Bernama