KOTA BHARU - Keputusan seorang bekas guru vokal mengubah kerjaya menjadi pengusaha sebuah kafe yogurt beku dinamakan Froogurtz, telah membuahkan hasil lumayan apabila perniagaannya itu meraih keuntungan mencecah RM100,000 sebulan.
Bercakap kepada Bernama, Mohamad Hafizuddin Che Soh, 29, nekad kembali menetap serta mencari rezeki di tempat kelahirannya di sini setahun lepas, apabila terpaksa berhenti sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur susulan institusi pendidikan itu terkesan oleh pandemik Covid-19.
"Saya mengajar di sekolah itu bermula 2018 hingga pertengahan tahun lepas. Namun, apabila Covid-19 melanda dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan pada Mac tahun lepas, sekolah terpaksa ditutup dan menghentikan sementara khidmat guru-guru kontrak termasuk saya.
"Pada waktu itu, agak sukar untuk bertahan dan simpanan pun semakin kurang. Disebabkan itu, saya buat keputusan balik Kelantan dan menetap bersama ibu bapa di Kota Bharu dan fikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," kata siswazah Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Namun, ibarat ungkapan 'rezeki tidak pernah salah alamat', pemuda itu meluahkan rasa syukur kerana yogurt beku yang dihasilkan menggunakan resipinya sendiri mendapat sambutan daripada penduduk Kelantan, sejak Froogurtz mula dibuka pada 1 November 2020.
"Alhamdulillah, penerimaan pelanggan sangat memberi kejutan yang luar biasa buat saya kerana ada yang sanggup datang setiap hari untuk kembali membeli, malah ada juga yang sanggup datang dari jauh untuk membeli Froogurtz.
"Bahkan, semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan di Kelantan, jumlah pelanggan juga semakin bertambah berbanding sebelum ini," katanya sambil menambah kedainya di Kubang Kerian yang terletak lima kilometer dari Pusat Bandar Kota Bharu, sentiasa didatangi pelanggan atau 'full house' setiap hari.
Froogurtz adalah gabungan ayat antara 'frozen' (beku) dengan 'yogurt' dan ia merupakan satu-satunya kafe di Kelantan yang memperkenalkan yogurt beku ataupun aiskrim yogurt dengan dijual pada harga serendah RM6 hingga RM17.
Keenakan Froogurtz dengan kombinasi rasa masam dan manis itu, turut dinikmati bersama 40 jenis topping atau hiasan pilihan menarik, terdiri daripada pelbagai buah-buahan, bijirin, biskut serta sos manisan seperti coklat atau madu yang 'menghiasi' lingkaran yogurt beku itu.
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan tersebut kerana beliau merupakan pencinta tegar yogurt beku sewaktu belajar di UiTM, Shah Alam, Selangor pada 2010 hingga 2016.
"Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya akan membeli makanan ini di sebuah outlet yogurt beku terkemuka di sana. Jadi ketika saya pulang menetap di Kelantan, saya melihat tiada lagi perniagaan makanan ini diusahakan mana-mana pihak, tidak kiralah jenama antarabangsa mahupun tempatan.
"Jadi saya mengambil peluang ini untuk menjadi pencetus pertama memulakan perniagaan yogurt beku secara kecil-kecilan dahulu dengan menjualnya di sebuah kiosk di dalam rumah kedai dekat Bandar Baru Tunjong sehinggalah berpindah di lot kedai yang lebih besar bermula 1 Mac lepas," katanya yang kini menggajikan seramai enam pekerja.
Mohamad Hafizuddin turut berkata, ketika ini, beliau dalam persiapan untuk membuka cawangan kedua Froogurtz di Wakaf Bharu yang dijangka beroperasi awal Ogos ini dan juga merancang untuk melebarkan 'sayap' perniagaannya di semua daerah di Kelantan, malah di seluruh Malaysia. - Bernama