Balai Polis Buloh Kasap ditutup, anggota positif Covid-19

Iklan
Balai Polis Buloh Kasap ditutup sementara bagi kerja sanitasi. (Gambar kecil: Raub Selamat)

SEGAMAT - Balai Polis Buloh Kasap di sini terpaksa ditutup sementara setelah seorang anggota polis disahkan positif Covid-19 dan 13 anggota lainnya kini dikuarantin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, penutupan sementara itu adalah selama tiga hari, berkuat kuasa 10 Julai, jam 8 malam hingga 13 Julai jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

"Pada 4 Julai hingga 10 Julai, seorang anggota polis Balai Polis Buloh Kasap telah disahkan positif Covid-19 oleh Hospital Segamat dan telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pasir Gudang, Johor Bahru manakala selebihnya kini dikuarantin.

"Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah mengarahkan penutupan sementara Balai Polis Buloh Kasap bagi proses sanitasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurut beliau, orang ramai yang ingin membuat laporan polis dan berurusan bagi tujuan permohonan rentas negeri atau daerah diminta ke Balai Polis Segamat.

Katanya, pihak polis akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat semasa penutupan sementara Balai Polis Buloh Kasap bagi memudahkan urusan semua pihak.

Iklan