SEREMBAN - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan seorang remaja cedera akibat terjatuh ketika melarikan diri daripada dikejar anjing liar di Rumah Rakyat Mambau di sini pada Jumaat.
Kejadian berlaku ketika Nur Aura Mikayla Mohammad, 2, didukung jirannya, Noraina Adina Rahim, 18, untuk berjalan-jalan di kawasan rumah.
Ibu kepada Nur Aura, Nur Afikah Noor Ahsikim, 25, berkata, ketika kedua-dua mereka berjalan di hadapan rumah, seekor anjing liar tiba-tiba menuju ke arah mereka.
"Akibat panik, Noraina yang sedang mendukung Nur Aura terjatuh sehingga menyebabkan luka pada bahagian kaki dan tangan mereka.
"Mujur semasa kejadian ada jiran lain yang nampak dan sempat menghalau anjing tersebut sebelum haiwan berkenaan lari," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.
Nur Afikah berkata, kejadian tersebut menyebabkan kedua-dua mereka trauma selain meninggalkan kesan luka pada tangan, kaki dan badan.
Katanya, aduan mengenai anjing liar di kawasan perumahan tersebut sudah diutarakan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sejak 30 Jun lalu, namun masih tiada tindakan.
"Terdapat tujuh ekor anjing liar yang selalu berkeliaran di kawasan ini. Sebelum ini anjing tersebut hanya membawa lari kasut penduduk tetapi kini mula bertindak ganas dengan menyerang kanak-kanak.
"Penduduk bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku selepas ini. Tak kan pihak berkuasa hendak tunggu ada yang cedera parah, baru tindakan dibuat," tegasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng berkata, pihaknya akan meneliti dan memantau kawasan tersebut dalam masa terdekat.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, bagaimanapun akan meminta pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkenaan.