Peserta e-Kasih diberi bantuan peralatan sesuai dengan kemahiran

Iklan
Zaiton Ismail

JOHOR BAHRU - Peserta e-Kasih di negeri ini akan diberikan bantuan peralatan sesuai dengan kemahiran masing-masing bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan untuk meneruskan kehidupan ketika pandemik Covid-19.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa keluarga yang memerlukan bantuan berkenaan dan usaha membantu mereka akan digerakkan menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT).

Iklan
Iklan

"Kita melihat bantuan berupa peralatan lebih sesuai kerana ia boleh dimanfaatkan untuk jangka masa panjang. Disebabkan itu, bantuan peralatan yang sesuai dengan kemahiran mereka akan disalurkan untuk meneruskan usaha menjana pendapatan.

"Sebagai contoh, seorang penerima bantuan yang kita temui sebelum ini mempunyai kemahiran membuat karipap, jadi kita akan cuba menyediakan peralatan dan latihan bagi memastikan mereka boleh menjana pendapatan dan membantu keluarganya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang berkunjung ke rumah peserta e-Kasih di sekitar daerah ini bagi menyampaikan bantuan RM500 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Turut hadir Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Rahman Salleh.

Iklan

Sementara itu, Zaiton berkata, bantuan ikhtiar hidup kepada peserta e-Kasih akan terus diperluaskan.

Katanya, pihaknya akan memastikan para peserta yang tidak berpendapatan dapat meneruskan kehidupan, sekali gus menjana pendapatan.

"Kita sedar akan cabaran yang terpaksa dihadapi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Kita akan terus akan memastikan lebih ramai peserta e-Kasih dibantu akan mereka dapat bertahan dan meneruskan kehidupan,” ujar beliau.